“Hanya yang berhak memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang percaya kepada Allah
dan hari kemudian serta tetap mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta tidak takut melainkan
kepada Allah; mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk”
( Surah At-Taubah : 18 ).
Huraian
Allah swt menerangkan orang-orang yang berhak memakmurkan masjidNya, iaitu orang-orang yang
disebutkan sifat-sifatnya dalam ayat ini :
1. Orang yang beriman, yakni percaya kepada Allah dan
hari kemudian, termasuklah percaya kepada semua rukun
iman yang enam.
2. Orang yang mendirikan solat tetap pada waktunya,
cukup dengan syarat dan rukunnya, kerana terbinanya
masjid tidak lain untuk mengerjakan ibadah solat di
samping ibadah yang lain.
3. Mengeluarkan zakat, iaitu suatu tugas yang wajib,
sedang memakmurkan masjid adalah suatu tugas yang
sunat. Maka tidak sewajarnya seseorang itu melakukan
tugas yang sunat melainkan sesudah ia tunaikan tugas yang
wajib terlebih dahulu.
4. Tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah. Yakni
dalam menegakkan agama, dia tidak takut kepada sesiapa
melainkan kepada Allah semata-mata. Dia juga tidak akan
meninggalkan perintah Allah dengan sebab takut kepada manusia.
"Maka mudah-mudahan mereka menjadi orang yang mendapat
petunjuk"
Yakni : Mereka yang mempunyai sifat-sifat yang menjamin
tertegaknya rukun Islam yang terpenting itu, maka mereka ini
diharapkan akan menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk
kepada perkara yang disukai dan diredhai Allah swt seperti
memakmurkan masjid sehingga berhaklah pula mereka mendapat
pembalasan yang dinikmati di dalam syurga.
|
*Jom kita imarah masjid* |